GEORGE TOWN – Bekas pemain sepak takraw Pulau Pinang, Muhammad Fuzan Mohamed Hussain, 25, dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.
Allahyarham Muhamad Fauzan menghembus nafas terakhir sejurus dibawa ke Unit Kecemasan hospital berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.
Perkara itu dimaklumkan abang ketiganya, Muhamad Fauzi, 31 kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Menurut Muhamad Fauzi, adik bongsu daripada empat beradik itu dibawa ke hospital akibat jangkitan kuman pada luka ‘bedsore’ di belakang badannya.
“Adik (Muhamad Fauzan) disahkan meninggal dunia sebaik sampai di hospital tengah hari tadi. Arwah meninggal selepas lima hari ibu, Khalijah Said, 63 meninggal dunia akibat sakit kronik, Jumaat lalu.
“Ketika itu kami ada bisik di telinganya mengenai pemergian ibu, adik memang tak boleh bercakap lagi dan masih terlantar di atas katil sampai ke hari ini.
“Tapi dia seakan tau (tahu) yang ibu sudah tiada, air matanya mengalir keluar,” katanya di sini, sebentar tadi.
Beritahu Muhamad Fauzi lagi, jenazah Muhamad Fauzan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Gelugor, selepas solat Isyak nanti.
Pada 3 Disember 2024, akhbar Kosmo! pernah melaporkan mengenai kisah pengorbanan seorang ibu, Khalijah yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dalam menjaga anaknya, Muhamad Fauzan yang terlantar sejak 2024.
Muhamad Fauzan terlibat kemalangan jalan raya akibat ‘microsleep’ ketika menunggang motosikal di Jalan Gottlieb, 12 Januari 2024. -KOSMO! ONLINE














