KUALA LUMPUR – Semua mesyuarat ASEAN tahun ini akan diadakan secara dalam talian susulan perkembangan semasa global, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, keputusan itu dimaklumkan oleh Menteri Luar kepada Jemaah Menteri, dengan hanya mesyuarat melibatkan ketua-ketua kerajaan dibenarkan berlangsung secara fizikal.
“Tiada mesyuarat fizikal diadakan sama ada di Manila atau lokasi lain kecuali melibatkan ketua-ketua kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Angkasapuri hari ini.
Dalam masa sama, kerajaan turut menubuhkan Pusat Arahan Komunikasi (Communications Command Centre) bagi menyelaras penyampaian maklumat berkaitan krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat.
Katanya, pusat tersebut akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan akan bermesyuarat secara kerap, terutama pada peringkat awal.
“Sidang media akan diadakan setiap hari sekitar pukul 4 petang bagi memastikan rakyat menerima maklumat tepat dan terkini,” ujarnya.
Langkah itu dilihat penting bagi memastikan penyelarasan maklumat yang lebih pantas dan berkesan, selain mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat susulan perkembangan pesat situasi antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Ekonomi akan bertemu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membentangkan langkah kerajaan menangani kesan ekonomi semasa.- KOSMO! ONLINE














