PETALING JAYA – Sebuah kabin dua tingkat di Rumah Pangsa Rosa, di Seksyen 7, Kota Damansara yang dibina tanpa kebenaran dirobohkan dalam operasi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.
Operasi yang diketuai Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon itu dilaksanakan selepas pemiliknya gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan sejak September 2024.
MBPJ berkata, notis siasatan dan arahan meroboh serta mengosongkan premis dalam tempoh yang ditetapkan telah diberikan, namun pemiliknya masih ingkar.
“MBPJ tidak berkompromi dan memastikan pematuhan undang-undang demi keselamatan penduduk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, Ahli Majlis MBPJ Zon 3, Muhamad Shazwan Suhaimi dan Pengarah Kawalan Bangunan MBPJ, Ismathinoon Abd. Rahman.
Operasi tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai jabatan dalaman MBPJ dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan kelancaran serta keselamatan awam. – KOSMO! ONLINE














