PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan ( LRT) Laluan Kelana Jaya dilaporkan mengalami gangguan operasi sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai yang menuju ke tempat kerja, pagi ini.
Menerusi hantaran tular di Threads oleh Idzhamshuhaimi berkata, tren yang dinaikinya menekan brek kecemasan secara tiba tiba hingga menyebabkan ramai yang terjatuh.
“Emergency brake (brek kecemasan) sampai ramai jatuh. Berhenti lama kemudian patah balik dan suruh semua keluar (tamat perkhidmatan),” katanya.
Rata-rata pengguna turut meluahkan rasa geram kerana tersangkut di dalam tren yang tidak bergerak selama hampir sejam.
“Hampir stuck (tersekat) dalam LRT dekat satu jam dah lambat nak pergi kerja ni,” tambah Idayu7884.
“Aku menyesal naik LRT pagi-pagi. Memang aku menyumpah sebab asyik buat hal masa orang nak ke kerja,” ujar Syahirahamani pula.
Namun, punca sebenar yang melumpuhkan laluan tersebut adalah disebabkan kejadian pokok tumbang yang menghempap landasan berhampiran Stesen Taman Paramount.
Pihak Rapid KL dalam kenyataan rasminya mengesahkan bahawa dahan pokok tersebut telah menghalang laluan tren, sekali gus memaksa pelan luar jangka (contingency plan) diaktifkan segera demi keselamatan penumpang.
“Perkhidmatan tren dari Putra Heights kini akan berakhir di Stesen Kelana Jaya sebelum berpatah balik, manakala tren dari arah Gombak pula akan tamat di Stesen Taman Jaya,” kata Rapid KL.
Selain itu, sebuah tren perantara khas turut diaktifkan untuk beroperasi di antara Stesen Kelana Jaya dan Stesen Taman Jaya melalui Platform 2 bagi membantu pergerakan penumpang yang terkandas, pagi tadi. – KOSMO! ONLINE!














