PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia memaklumkan pengimportan sisa elektronik (e-waste) ke Malaysia telah diwartakan sebagai barang larangan import secara mutlak, berkuasa kuasa hari ini.
Perintah itu dilaksanakan di bawah Jadual Pertama, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 melalui Warta Kerajaan Persekutuan iaitu Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026].
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, pewartaan itu dibuat selaras dengan subseksyen 31(1) Akta Kastam 1967 [Akta 235].
“Langkah ini sejajar dengan keputusan yang dicapai melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bilangan 2 Tahun 2026.
“Ia sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan terhadap kemasukan sisa berbahaya ke dalam negara serta melindungi alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.
Kata beliau, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Alam Sekitar serta agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.
“Ia bagi memastikan larangan terhadap pengimportan buangan terjadual, khususnya e-waste dikuatkuasakan secara
tegas dan berkesan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














