PEMAIN naturalisasi negara, Endrick Dos Santos berharap rakan-rakan sepasukan dapat memperbaiki mutu permainan pada masa akan datang selepas gagal layak ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi tahun depan.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya tewas 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F sekali gus menamatkan saingan dengan status naib juara, manakala Golden Star Warriors gah selaku juara kumpulan selepas enam perlawanan.
Menurut Endrick, jurang kualiti antara kedua-dua pasukan di atas padang tidak terlalu ketara, tetapi beberapa kesilapan kecil meranapkan impian pasukan untuk raih tiga mata.
“Kami mencipta beberapa peluang keemasan dan kami juga membuka ruang buat mereka (Vietnam). Barisan pemain sudah cuba untuk mengatur sesuatu (selepas babak pertama), tetapi malangnya kami memasuki separuh masa kedua dan bolos dua gol lagi.
“Kami melakukan beberapa kesilapan semasa perlawanan, tetapi kami cuba lakukan yang terbaik. Cuma, Vietnam adalah pasukan yang kuat terutama di tempat sendiri dan mereka mempunyai pemain yang berkualiti.
“Saya percaya ada perkara yang perlu kami perbaiki. Kami akan teruskan dan kami harus memandang ke hadapan kerana kami juga mempunyai pasukan yang bagus,” katanya selepas perlawanan semalam.
Endrick berjaya meledak gol saguhati buat skuad kebangsaan menerusi sepakan penalti manakal tiga lagi jaringan Vietnam dilakukan oleh Do Duy Manh dan Nguyen Xuan Son (dua gol). – KOSMO! ONLINE














