KLANG – Keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, merancang menuntut pampasan lebih RM1 juta demi menuntut keadilan untuk isteri dan tiga anak mereka yang kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang seorang bapa.
Peguam keluarga, Mohd. Faizi Che Abu, berkata, jumlah sebenar pampasan akan ditentukan berdasarkan pengiraan gaji, sumbangan arwah dan tanggungan keluarga.
Katanya, tuntutan itu berdasarkan kepada prinsip undang-undang dan ketetapan kes-kes sebelum ini.
“Ia ada pengiraan. Dari segi undang-undang memperuntukkan berapa sumbangan diberikan arwah (kepada keluarga mereka sebelum ini).
“Kita akan buat pengiraan dari segi gaji, sumbangan dan tanggungan dan penggandaan kepada berapa umur. Semua itu ada formula dan saya berbincang (dengan keluarga). Tetapi kita ada angka.
“(Ada bayangan lebih RM 1juta) Mungkin dalam jumlah tersebut. Insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar di lobi pekarangan Mahkamah Klang di sini, hari ini.
Mohd. Faizi menambah, beliau akan mewakili keluarga sepanjang prosiding kes tersebut selain menasihati kes jenayah dan tindakan sivil yang akan diambil nanti.
“Dari segi keluarga berpuas hati disebabkan mula-mula kita ingatkan bahawa pertuduhan dibawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mabuk dan sebagainya.
“Tetapi, Alhamdulillah pihak pendakwaan mengambil pendirian yang tegas untuk mengenakan satu pertuduhan bunuh.
“Bagaimana bukti itu kita serahkan kepada pihak pendakwaan dan Mahkamah tentukan. Kita menghormati dan menghargai keputusan diambil pihak pendakwaan dalam kenakan pertuduhan hari ini,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar mahu menyaman individu yang merempuh suaminya sehingga maut demi menuntut keadilan untuk tiga anak mereka yang kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang seorang bapa. – KOSMO! ONLINE














