PETALING JAYA – Kemelut perkahwinan pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam kini memasuki fasa baharu apabila prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk bertukar menjadi proses perceraian.
Dua kali pernah dilafazkan talak, Marissa mendedahkan dia kini dalam proses berpisah bersama suaminya, Aslam.
“Perbicaraan kes kelmarin telah ditangguhkan untuk sambung bicara kerana saya belum memberikan keterangan.
“Kami kini dalam proses berpisah dan keputusan akhir bagi pengesahan lafaz cerai dan rujuk adalah cerai,” tulisnya pemilik nama lengkap Marissa Dania Hakim Mohamed Nurhakim, 21 itu dalam Instagram.
Anak kedua kepada Abby Abadi dan Norman Hakim juga berharap tiada lagi kenyataan yang dikeluarkan mana-mana pihak berhubung rumah tangganya.
“Saya harap tiada lagi kenyataan daripada mana-mana pihak. Beri saya ruang dan jangan membuat andaian sendiri serta cepat membuat kesimpulan,” tulisnya.
Sebelum ini Marissa juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak pernah mendapat hak sebagai seorang isteri seperti yang sepatutnya.
Terdahulu kelmarin Marissa dan Aslam hadir di mahkamah bagi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang dibuat sebanyak dua kali, iaitu pada September 2024 sebelum kembali rujuk dalam bulan sama dan sekali lagi melafazkan cerai pada April 2025 dan difahamkan rujuk sekitar Jun tahun sama.
Marissa Dania merupakan isteri kedua Aslam selepas mereka bernikah di Thailand pada 27 Disember 2023 yang ketika itu sudah pun bergelar suami Umisya pada Julai 2020.
Pasangan itu juga pernah bercerai pada September 2023 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula dalam tempoh idah. – KOSMO! ONLINE














