BACHOK – Jeritan anak bongsu berjaya menyelamatkan seorang ibu tunggal bersama dua lagi anaknya yang tidur selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Sri Sentosa, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.35 pagi itu, Normaizura M. Raduan, 43, terjaga selepas terdengar jeritan Mohd. Amir Alfa Rizqi Abdul Aziz, 4, dan melihat api marak membakar dinding rumah sewa keluarga tersebut.
“Kami bergegas turun dan keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan penduduk kampung,
“Saya tidak sempat selamatkan dokumen penting termasuk duit RM700 yang disimpan untuk membayar pendahuluan membeli motosikal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Ekoran kejadian itu, bahagian muka dan lengan kiri Normaizura melecur akibat terkena bahang panas semasa cuba menyelamatkan diri. Dua lagi anak wanita itu berusia 15 dan 18 tahun selamat.
Normaizura berkata, kereta jenis Proton Satria miliknya yang berada di garaj turut terbakar dan tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca akibat litar pintas kerana dia mengecas telefon bimbit sebaik pulang dari tempat kerja pukul 2 pagi tadi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Rosli Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.13 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.- KOSMO! ONLINE














