WASHINGTON – Seorang hakim persekutuan memutuskan bahawa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat (AS) telah melampaui kuasanya apabila ia menamatkan status sah beribu-ribu pendatang asing yang memasuki negara itu menggunakan program era pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Kira-kira 900,000 pendatang asing yang memasuki sempadan selatan menggunakan aplikasi CBP One, secara amnya dibenarkan untuk kekal di AS selama dua tahun. Mereka turut diberikan parol daripada undang-undang imigresen untuk bekerja di AS secara sah.
Pentadbiran Presiden Donald Trump tahun lalu menamatkan program parol tersebut dan mula menggunakan aplikasi itu untuk pengusiran sukarela.
Bagaimanapun, keputusan hakim semalam mengembalikan status kepada individu di seluruh negara yang menerima e-mel atau pemberitahuan serupa daripada DHS, yang sebelum ini membatalkan parol mereka.
Dari tahun 2023, di bawah pentadbiran Biden, DHS mewajibkan ramai pencari suaka menggunakan aplikasi tersebut dalam usaha untuk menguruskan sempadan selatan dengan lebih baik.
Namun, April tahun lalu, individu yang telah memasuki AS di sempadan selatan melalui aplikasi CBP One menerima e-mel yang memaklumkan: “Sudah tiba masanya untuk anda meninggalkan Amerika Syarikat”.
Hakim Allison Skye Borroughs dari Mahkamah Daerah Massachusetts menulis dalam keputusannya bahawa penamatan parol melebihi kuasa berkanun agensi dan bercanggah dengan prosedur yang ditetapkan dalam peraturannya sendiri. – AGENSI














