ROM – Itali enggan membenarkan pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) mendarat di pangkalan udara Sigonella di Sicily sebelum menuju ke Asia Barat ekoran tindakan Washington yang tidak meminta kebenaran terlebih dahulu daripada kerajaannya, kata sumber semalam seperti laporan akhbar Arab News.
Menurut akhbar Corriere della Sera yang pertama kali melaporkan berita itu, beberapa pesawat pengebom AS dijadualkan mendarat di pangkalan di timur Sicily sebelum terbang ke Asia Barat.
Laporan itu tidak menyatakan bila pesawat tersebut dijadualkan mendarat tetapi mengatakan bahawa kebenaran dinafikan kerana AS tidak meminta kelulusan, manakala kepimpinan tentera Itali tidak dirujuk.
Perkara itu tertakluk di bawah perjanjian yang mengawal penggunaan instalasi tentera AS di Itali.
Sumber itu mengesahkan laporan tersebut tetapi tidak menyatakan jumlah pesawat yang terlibat. Sumber kedua mengatakan bahawa Itali menolak kebenaran pada 27 Mac lalu.
“Merujuk kepada laporan media mengenai penggunaan pangkalan tentera, kerajaan menegaskan semula bahawa Itali bertindak dengan mematuhi sepenuhnya perjanjian antarabangsa sedia ada dan garis panduan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan kepada parlimen,” kata satu kenyataan kerajaan.
Ia menambah, semua permintaan untuk menggunakan kemudahan tersebut diperiksa dengan teliti berdasarkan kes demi kes, serta mengatakan tiada isu kritikal atau masalah dengan rakan kongsi antarabangsa.
Isnin lalu, Sepanyol mengatakan bahawa ia menutup ruang udaranya kepada pesawat AS yang terlibat dalam serangan ke atas Iran, satu langkah melebihi penolakannya sebelum ini untuk membenarkan penggunaan pangkalan tentera yang dikendalikan bersama. – AGENSI














