fbpx
Keadaan Allahyarham Amirul Hafiz yang terkorban selepas dilanggar pemandu mabuk dan khayal dadah di Jalan Raya Barat, Klang baru-baru ini.

Dua hari tak tidur, terbayang mangsa jatuh atas bumbung kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Seorang lelaki masih dihantui trauma selepas menyaksikan sendiri detik ngeri seorang penunggang motosikal yang terjatuh di atas bumbung keretanya dalam kemalangan maut di Jalan Raya Barat di sini, Ahad lalu.

Individu yang mahu dikenali sebagai Megan, 42, berkata, kejadian tersebut masih bermain di fikirannya sehingga menyebabkan dia tidak dapat tidur lena sejak dua hari lalu.

Menurutnya, ketika kejadian dia memandu kereta jenis Perodua Myvi bersama seorang rakannya dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Klang sebelum insiden tersebut berlaku secara tiba-tiba.

“Dua hari saya tak boleh tidur malam. Setiap kali pejam mata, kejadian itu muncul semula dalam ingatan.

“Saya masih terbayang tangan mangsa terkulai di cermin hadapan kereta saya. Sampai sekarang saya masih terkejut bila ingat balik,” katanya, hari ini.

Menceritakan detik kejadian, keadaan berlaku terlalu pantas sehingga pada awalnya dia menyangka kenderaannya tidak melanggar apa-apa.

“Saya ingatkan kereta itu tidak langgar apa-apa. Tiba-tiba saya perasan ada orang di atas bumbung kereta apabila terlihat tangan mangsa terkulai di cermin hadapan sebelah pemandu.

“Masa itu saya memang tak pasti keadaan dia. Dalam keadaan panik saya memandu perlahan bagi memastikan mangsa tidak terjatuh ke jalan raya.

“Dalam fikiran saya ketika itu, tak mengapa kalau kereta rosak, yang penting nyawa dia,” katanya.

Tambahnya, dia kemudian menghentikan kenderaan di tepi jalan sebelum mendapati mangsa sudah tidak menunjukkan sebarang tanda pergerakan.

Menurutnya, kejadian tersebut bukan sahaja meninggalkan trauma, malah menjejaskannya apabila kenderaan yang dipandu tidak dilindungi insurans komprehensif dan kini ditahan di balai bagi tujuan siasatan.

“Saya sedih bila tahu mangsa ada keluarga dan anak-anak masih kecil. Satu orang buat salah, ramai yang susah dan saya juga terkesan dengan kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 11.47 pagi, Ahad lalu menyaksikan Amirul Hafiz Omar, 33, maut selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 20-an dalam keadaan mabuk dan khayal di Jalan Raya Barat, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN