PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan tular mengenai kenaikan tarif elektrik bermula April, sebaliknya menyifatkan maklumat berkenaan sebagai palsu dan mengelirukan orang ramai.
TNB dalam satu kenyataan berkata, sebarang pelarasan kos elektrik ketika ini tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dilaksanakan dalam sektor tenaga sejak Julai 2025.
“Maklumat yang tular mengenai kenaikan tarif elektrik bermula April adalah tidak benar dan berpotensi mengelirukan pengguna,” katanya, hari ini.
Menurut TNB, kadar AFA ditentukan berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing dan diselaraskan secara bulanan selepas pengesahan Suruhanjaya Tenaga.
“TNB ingin menegaskan bahawa sebarang perubahan kadar AFA akan diumumkan secara rasmi melalui saluran sah syarikat,” jelasnya.
Sementara itu, TNB memaklumkan akan melaporkan penyebaran maklumat tidak benar tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan, selain merujuk hanya kepada pengumuman rasmi TNB serta menyemak kesahihan kandungan sebelum berkongsi.
Katanya, sebarang pertanyaan atau maklumat meragukan boleh disalurkan melalui platform rasmi TNB seperti Facebook TNB Careline, akaun X @Tenaga_Nasional atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE














