BATU PAHAT – Seorang pekerja kedai serbaneka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah wang berjumlah lebih RM32,000 untuk membayar hutang ceti haram atau along.
Tertuduh, Nurfatin Najwa Ahmad Bzli, 23, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Nurfatin yang masih bujang didakwa melakukan pecah amanah wang tunai hasil jualan perniagaan harian berjumlah RM32,101.70 milik sebuah kedai serbaneka di Taman Soga, di sini pada 21 hingga 27 Mac lalu.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan. Bagaimanapun, Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah memberi pengecualian hukuman sebatan kepada pesalah wanita.
Menurut laporan yang dibuat, pihak pengurusan kedai serbaneka tersebut mendapati wujud aliran tunai mencurigakan sebelum menjalankan audit.
Pada 19 Mac lalu, tertuduh ditugaskan mengira stok dan menjaga kaunter pembayaran bagi menggantikan pekerja yang cuti bersalin.
Kejadian terbongkar apabila pihak pengurusan mendapati jumlah stok dengan pendapatan harian tidak selari sebelum menjalankan pemeriksaan.
Hasil siasatan mendapati, tertuduh mengaku melakukan pecah amanah kerana mahu membayar hutang along.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad tidak menawarkan ikat jamin dan memohon tarikh untuk sebutan fakta kes dan hukuman kerana tertuduh mengaku bersalah.
Mahkamah menetapkan tiada jaminan dan sebutan semula kes pada Jumaat ini untuk fakta kes dan jatuh hukuman. – KOSMO! ONLINE














