PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menolak rayuan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar penyahwartaan Bukit Cherakah sebagai hutan simpan.
Dua NGO itu ialah Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF).
Keputusan itu dibuat majoriti 2 -1 dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel dan Datuk Rhodzariah Bujang menolak rayuan dua NGO tersebut, manakala Hakim Datuk Lee Swee Sing menentangnya.
Justeru dengan keputusan itu, pendengaran berhubung isu yang dibangkitkan kedua-dua NGO mengenai Bukit Cherakah tersebut tidak perlu didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Terdahulu pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kedua-dua NGO untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang menyahwartakan 406.22 hektar hutan simpan Bukit Cherakah.
Pada 24 Januari 2024, Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan mereka atas alasan semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang dibenarkan.
NGO itu kemudian membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran merayu dan pada 9 September tahun sama mahkamah tertinggi negara itu membenarkan permohonan mereka untuk merayu.
Mereka mendakwa adalah menyalahi undang-undang bagi Kerajaan Selangor untuk membatalkan warta, dengan menyatakan bahawa keputusan penyahwartaan dibuat pada 20 November 2000.
Mereka berkata warta itu diterbitkan pada 5 Mei 2022, hampir 22 tahun selepas keputusan untuk penyahwartaan Bukit Cherakah.
Dalam permohonan mereka untuk semakan kehakiman, NGO tersebut menamakan Kerajaan Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, dan Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.
Responden lain ialah YCH Development Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Restu Mantap Sdn Bhd.
NGO itu diwakili peguam Rajesh Nagarajan, Datuk Gurdial Singh Nijar, Amanda Sonia Mathew manakala Hani Aziza Ismail @ Aziz serta Mary Phoon Keat Mee, mewakili Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, dan Jabatan Tanah dan Galian Petaling.
Peguam lain ialah Ng Ka Choon dan Low Jiah Yee untuk YCH Development, Ganapathi Ramasamy mewakili Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor. – KOSMO! ONLINE














