PETALING JAYA – “Kepada produser, penulis dan pengarah. Tolong gandingkan kami (bersama Norreen).”
Demikian respons aktor Beto Kusyairy yang menyambut baik hasrat pelakon Norreen Iman untuk digandingkan bersama dalam mana-mana naskhah drama mahu pun filem.
Beto atau nama sebenarnya NurKusyairy Zakuan Osman, 46, bersetuju dengan cadangan Norreen untuk melakonkan babak dipukul, namun dengan sedikit ‘plot twist’ mengusulkan ada dua watak yang tertukar jasad.
“Kisah dua orang pelakon yang ‘tertukar’ jasad sewaktu di set penggambaran.
“Babak melempang kena ada. Jadinya, Beto (Norreen) melempang Norreen (Beto) sewaktu mereka menari cha cha,” selorohnya.
Faham gurauan dua anak seni itu, ramai sebenarnya netizen tidak sabar menantikan impian tersebut menjadi kenyataan, selain teruja melihat sisi jenaka Beto yang jarang-jarang dipamerkan sebelum ini.
“Ini luar kotak betul ya babak sambil menari cha cha. Tolong bagi jadi cerita ini,” kata peminat.
“Masuk air juga Beto ini, skrip pun kacip betul,” tutur pengikut.
“Saya doakan semoga menjadi realiti, amin,” ujar peminat lain.
Sebelum ini, pemilik nama lengkap Norreen Iman Abdullah, 31, secara terbuka meluahkan hasrat untuk bergandingan dengan Beto.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif, termasuk daripada isteri Beto sendiri iaitu Tisha Shahar, yang meminta Norreen segera menghubunginya sekiranya pihak produser memberikan ‘lampu hijau’ untuk projek tersebut. – KOSMO! ONLINE














