KUALA LUMPUR – Asisten Komisioner Annas Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau yang sebelum ini Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) mengambil alih jawatan itu daripada Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail.
Mohamad Lazim kini dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dengan acara dimulakan menerusi sesi menandatangani dan pertukaran dokumen antara kedua-dua pegawai terbabit.
Fadil dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Mohamad Lazim atas sumbangan dan komitmen sepanjang menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Menurutnya, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan, pelbagai inisiatif dan pendekatan telah dilaksanakan bagi memperkukuh aspek keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
“Pelbagai kejayaan berjaya dicapai khususnya dalam aspek operasi, tangkapan dan pencegahan jenayah, sekali gus mencerminkan kepimpinan berintegriti serta komitmen tinggi beliau,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan Mohamad Lazim ke jawatan baharu di Bukit Aman adalah bersesuaian dengan pengalaman serta kepakaran dimiliki, khususnya dalam bidang jenayah siber.
Dalam pada itu, Fadil berkata tugas sebagai Ketua Polis Daerah bukan mudah, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran jenayah yang semakin kompleks ketika ini.
Bagaimanapun, beliau yakin Annas mampu memikul tanggungjawab tersebut dengan baik, dibantu semangat kerjasama dalam kalangan pegawai dan anggota.
“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh warga IPD Wangsa Maju agar memberikan sokongan penuh kepada Annas dalam meneruskan kecemerlangan pasukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














