fbpx
Aliff Syukri menghadiri prosiding itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam. -Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED/KOSMO!

Video Kelepok Raya: Pengurusan kes rayuan pembebasan Aliff Syukri 19 Mei depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 19 Mei depan bagi pengurusan kes mendapatkan alasan penghakiman berhubung pembebasan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman daripada empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang ‘Kelepok Raya’ empat tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin berkata, tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar, Nadia Nisman selepas pihaknya memfailkan notis rayuan mengenai keputusan berkenaan pada September tahun lalu.

Jelas beliau, pihak pendakwaan perlu mendapatkan status alasan penghakiman dan nota keterangan daripada Mahkamah Sesyen Sepang sebelum memfailkan petisyen rayuan.

“Kami sebagai perayu dimaklumkan bahawa kedua-duanya itu belum tersedia dan kami perlu memastikan kehadiran responden (Aliff Syukri) ke mahkamah. Pegawai polis MCMC telah berjumpa responden secara fizikal dan menyerahkan empat notis kehadiran pada 3 Februari lalu. Mahkamah hari ini berpuas hati dan responden perlu hadir pada tarikh-tarikh akan datang,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas prosiding itu.

Sementara itu, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Aliff Syukri berkata, serahan dokumen sebelum ini dilakukan secara tidak efektif dan sempurna.

“Serahan (notis kehadiran) kepada responden itu dibuat pada waktu malam dan ia sepatutnya pada waktu biasa atau munasabah. Kini, serahan telah sempurna di mahkamah ini dan tiada lagi isu teknikal mengenainya,” katanya.

Sebelum ini satu muzik video lagu raya berdurasi lima minit 23 saat menjadi kontroversi apabila memaparkan aksi keterlaluan penari lelaki lembut yang disifatkan mencemari sambutan Aidilfitri dan mempunyai elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN