IPOH – Perak merekodkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.49 berbanding 4.63 pada tahun 2024.
Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar, berkata, seramai 1,008 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 937 calon tahun sebelumnya.
“Tahun ini peratusan calon yang layak menerima sijil SPM adalah 94.44 peratus iaitu 26,182 orang, meningkat 0.58 peratus jika dibandingkan pada 2024 yang merekodkan 25,774 calon (93.86 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman analisis keputusan SPM 2025 negeri Perak di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini hari ini.
Seramai 27,722 pelajar menduduki peperiksaan SPM 2025 di 296 pusat peperiksaan yang dibuka di seluruh negeri bermula 3 November hingga 23 Disember lalu.
Zulkafli berkata, daripada jumlah itu seramai 650 calon merupakan pelajar Orang Asli dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di Kampung Orang Asli Bawong, Sungai Siput merekodkan keputusan 100 peratus lulus.
“Pencapaian SPM 2025 antara bandar dan luar bandar dengan jurang pencapaian calon 0.04 mata iaitu GPN calon bandar adalah 4.49 berbanding 4.45 bagi calon luar bandar.
“Peningkatan prestasi sekolah-sekolah di luar bandar ini adalah hasil usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia bersama JPN Perak dalam memperkasa sistem pendidikan, khususnya dari aspek infrastruktur dan kemudahan,” katanya.
Ujarnya, penambahbaikan fasiliti sekolah di kawasan pedalaman termasuk naik taraf bilik darjah serta penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif telah memberi impak positif kepada pencapaian pelajar.
“Selain itu, pihak kementerian turut memastikan bekalan guru di sekolah luar bandar adalah mencukupi dan seimbang bagi menjamin kualiti pengajaran tidak terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE














