fbpx
ALI@ZAINALABIDIN (tiga kiri) bersama kepimpinan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menunjukkan keputusan SPM 2025 bagi negeri Johor di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), hari ini.

SPM 2025: GPN Johor meningkat 0.8 mata, rekod 4.28 atasi purata kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Gred Purata Negeri (GPN) Johor bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 meningkat 0.8 mata kepada 4.28 mata berbanding 4.36 mata yang direkodkan bagi peperiksaan sama tahun terdahulu.

Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Ali@Zainalabidin Syed Mohamed berkata, keputusan GPN tersebut menunjukkan trend peningkatan sejak SPM 2021, selain turut mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) iaitu 4.42 mata.

Katanya, seramai 36 calon SPM 2025 di negeri ini memperoleh keputusan A+ dalam semua subjek, pengurangan sebanyak lima calon berbanding 41 calon yang mencatatkan keputusan sama bagi SPM 2024.

“Bilangan calon yang peroleh kombinasi A+, A dan A- adalah seramai 1,573 atau 3.73 peratus, meningkat berbanding 1,472 calon berbanding SPM 2024. Manakala 4,405 calon peroleh sekurang-kurangnya minimum B serta 7,128 calon peroleh minimum C.

“Seramai 40,121 calon SPM 2025 layak dianugerahkan sijil iaitu sebanyak 95 peratus pelajar berbanding seramai 40,266 calon layak mendapat sijil pada tahun terdahulu,” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), di sini hari ini.

Tambah Ali@Zainalabidin, sebanyak 81 buah sekolah daripada keseluruhan 276 sekolah mencatatkan rekod lulus 100 peratus pelajarnya termasuk seramai 70 pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Pensijilan bagi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) pula, seramai 125 calon iaitu 81.17 peratus layak dianugerahkan sijil. Mereka melibatkan pelajar kurang upaya fizikal, kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pertuturan dan lain-lain.

“Secara keseluruhannya, prestasi mata pelajaran SPM 2025 negeri ini menunjukkan peningkatan bagi 45 daripada 80 mata pelajaran yang ditawarkan, 31 mata pelajaran menunjukkan penurunan manakala 4 mata pelajaran lagi tidak berubah,” katanya.

Ali@Zainalabidin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua calon yang mendapat keputusan cemerlang sekaligus berharga kejayaan tersebut akan diteruskan dalam apa-apa bidang diceburi mereka pada masa depan.

“Kepada calon yang mendapat keputusan kurang cemerlang, saya berharap mereka tidak berputus asa, sebaliknya akan berusaha lebih kuat untuk mencapai kejayaan,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN