PUTRAJAYA- Seramai 80 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mencipta pencapaian cemerlang apabila berjaya memperoleh semua A+ menerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama, beliau turut berbangga dengan pencapaian seramai 7,636 calon SPM daripada 57 MRSM yang terus mencipta kecemerlangan.
“Lebih membanggakan, keputusan SPM 2025 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.067 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil
peperiksaan tersebut.
“Sebanyak lima buah MRSM berada dalam kelompok teratas terbaik secara keseluruhan, mengatasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah-sekolah harian lain di seluruh negara.
“Alhamdulilah, ini menjadi bukti jelas bahawa MRSM kekal sebagai institusi peneraju kecemerlangan pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pencapaian itu turut mengukuhkan kedudukan MRSM sebagai penanda aras kecemerlangan, khususnya dalam melahirkan bakat-bakat dari luar bandar.
“Kita turut menyaksikan satu pencapaian yang amat membanggakan apabila empat pelajar Orang Asli berjaya memperoleh keputusan 9A, manakala seramai 114 pelajar mencatat keputusan cemerlang 5A ke atas, meningkat daripada 87 pelajar pada tahun lalu.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kemajuan Orang Asli bersama pelbagai agensi dalam memperkasa pendidikan komuniti Orang Asli.
“Ia dengan memastikan setiap pelajar mendapat perhatian serta peluang yang saksama tidak kira di mana mereka berada,” katanya.
Menurut beliau, hasil inisiatif berterusan kerajaan khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah turut membolehkan jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar semakin mengecil sebanyak 0.04 mata berdasarkan Gred Purata Kebangsaan (GPK).
“Kementerian akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar, termasuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif agar setiap pelajar dapat mencapai potensi terbaik mereka.
Kerajaan turut menyediakan pelbagai laluan pendidikan sama ada melalui Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, mahupun melalui laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Melalui institusi seperti UniKL, Institut Kemahiran Mara, Giat Mara dan lain-lain, pelajar kini mempunyai ruang lebih luas untuk meneroka potensi diri melalui
ekosistem UP_TVET,” katanya. – KOSMO! ONLINE














