PUTRAJAYA- Seramai 7,099 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 tidak hadir berdasarkan analisis menduduki peperiksaan sekurang-kurangnya bagi enam mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, jumlah itu merangkumi 1.79 peratus daripada jumlah calon baharu yang menduduki seramai 395,740 calon berbanding 8,108 calon tidak hadir atau menurun 1,009 orang pada SPM 2024.
Menurut beliau, pelbagai faktor ketidakhadiran murid menduduki peperiksaan antaranya, bekerja, berpindah ke luar negara, terlibat kemalangan dan masalah keluarga.
“Ada antara calon mempunyai masalah kesihatan lain, masalah pengangkutan, meninggal dunia selain ada yang ditahan pihak berkuasa.
“Jarak masa panjang daripada tempoh pendaftaran peperiksaan pada awal tahun sehingga peperiksaan sebenar pada bulan November turut menyumbang kepada pelbagai faktor ketidakhadiran calon,” katanya dalam sidang akhbar keputusan peperiksaan SPM 2025 di sini hari ini.
Mohd. Azam berkata, bagaimanapun, pihak KPM selain di peringkat jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan pihak sekolah sendiri telah melakukan pelbagai program intervensi untuk memastikan calon hadir menduduki peperiksaan.
“Program ziarah cakna dengan pergi ke rumah murid dilakukan dengan memberikan panduan dan nasihat kepada ibu bapa dan murid itu sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














