KOTA BHARU – Seramai 421 atau 2.12 peratus daripada 26,072 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Kelantan memperoleh keputusan semua A.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, daripada jumlah itu, jumlah calon yang mendapat keputusan cemerlang iaitu semua gred A+ dalam semua mata pelajaran adalah seramai 11 orang pada SPM 2025 berbanding lapan orang pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, seramai 19,727 orang atau 96.27 peratus calon SPM 2025 di negeri ini yang layak dianugerahkan sijil berbanding dengan 19,111 orang atau 95.99 peratus pada SPM 2024.
“Jumlah calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 2,578 orang (12.65 peratus) pada SPM 2025 berbanding dengan 2,545 orang (12.78 peratus) pada 2024.
“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran adalah seramai 8,026 orang (39.37 peratus pada
SPM 2025 berbanding dengan 7,419 orang (37.27%) pada SPM 2024,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2025 di JPN Tunjong di sini hari ini.
Siti Norina memberitahu, secara keseluruhannya,
Gred Purata National (GPN) bagi SPM 2025 adalah 4.60 iaitu lebih baik berbanding SPM 2024 dengan 4.62.
Katanya, berdasarkan GPN, jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar semakin mengecil sebanyak – 0.04 mata.
“GPN calon di bandar adalah 4.53 mata pada SPM 2025 berbanding dengan 4.57 mata pada SPM 2024. GPN calon di luar bandar pula 5.26 mata,” katanya. – KOSMO! ONLINE














