BANGKOK – Kenaikan harga minyak mencetuskan panik dalam kalangan pemilik kenderaan di Thailand, dengan seorang penduduk di wilayah Phang-Nga terpaksa menjual keretanya kerana tidak mempunyai wang untuk membeli bahan api, lapor portal berita Must Share News.
Dalam gambar yang tular di media sosial, sebuah trak pikap Isuzu berwarna perak diletakkan di tepi jalan dengan sehelai kertas diselitkan di cermin hadapan.
“(Untuk) dijual segera,” tulisnya.
Pemilik kereta turut meninggalkan alasan untuk tindakan tersebut iaitu tiada wang bagi membeli bahan api.
Laporan mengatakan bahawa kenderaan itu diletakkan di luar sebuah stesen minyak.
Menurut laporan akhbar Khaosod, banyak stesen minyak di Phang-Nga masih kekurangan bekalan minyak. Ini telah memaksa kebanyakan stesen minyak ditutup.
Beberapa gambar menunjukkan sebilangan stesen minyak meletakkan penghadang logam dan papan tanda di pintu masuk yang menunjukkan bahawa mereka telah kehabisan bekalan.
Individu yang bekerja dalam sektor penghantaran dan mengendalikan kenderaan perindustrian berkata, mereka terjejas teruk.
Seorang penghantar makanan berusia 39 tahun meminta lebih banyak sokongan kerajaan supaya individu sepertinya dapat terus menjalankan tugas. – AGENSI














