SEBERANG PERAI – Seorang lelaki cedera selepas lori yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena di Lebuh Raya Butterworth Kulim Expressway (BKE) di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.22 petang sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori satu tan dan sebuah lori kontena. Pemandu lori satu tan berusia 20 tahun yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki itu kemudiannya diselamatkan oleh orang awam.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 2.09 petang. -KOSMO! ONLINE














