fbpx
Gambar adik Aaron Darwisy Fakrulrazi ditahan wad semasa peperiksaan Sejarah dan mengambil keputusan SPM hari ini.

Pejuang kanser berjaya peroleh 8A 1B, ibu doa anak sembuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tekad seorang pejuang kanser tulang meneruskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ternyata membuahkan hasil apabila remaja berkenaan berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A 1B, yang diumumkan hari ini.

Aaron Darwisy Fakrulrazi, pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau, membuktikan bahawa penyakit bukan penghalang untuk berjaya meskipun terpaksa melalui fasa rawatan kemoterapi yang perit sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

Menurut ibunya Norfardilawati berkata, Aaron mula dikesan menghidap kanser tulang (Osteosarcoma) pada September 2025 selepas keputusan biopsi menunjukkan terdapat ketumbuhan pada bahagian bahu kanannya.

“Doktor ortopedik sebenarnya mencadangkan supaya dia menangguhkan SPM, tetapi Aaron sendiri yang bertegas mahu meneruskannya walaupun sudah diterangkan mengenai risiko dan kesan rawatan.

“Sebagai ibu, saya sangat sebak melihat dia belajar sendiri di rumah kerana tidak dibenarkan berada di tempat sesak akibat antibodi yang lemah selepas kemoterapi,” katanya.

Menceritakan cabaran sepanjang peperiksaan, ibunya berkata Aaron terpaksa melalui rawatan kemoterapi selama empat hari berturut-turut ketika jadual SPM sedang berjalan.

Lebih mencabar, Aaron pernah dimasukkan ke hospital selama enam hari akibat jangkitan kuman dalam darah (blood infection) semasa kertas Bahasa Inggeris dan Sejarah, selain mengalami jangkitan mata ketika menduduki kertas akhir Matematik Tambahan.

“Dia juga beberapa kali pengsan semasa Ujian Lisan di sekolah. Malah, sebaik sahaja tamat kertas terakhir, Aaron terus menjalani pembedahan besar selama 12 hingga 13 jam.

“Jujurnya, saya tidak meletakkan sebarang jangkaan tinggi kerana hanya mahu dia sembuh. Namun melihat keputusan 8A dan 1B ini, saya rasa segala kesakitan dan keazamannya sangat berbaloi,” ujarnya lagi.

Walaupun tidak dapat menyertai bengkel latihan di sekolah, Aaron tetap berusaha mengikuti kelas dalam talian melalui platform MCPlus selain mendapat sokongan moral dan bantuan daripada guru-guru sekolahnya.

Bagi ibunya, kejayaan tersebut adalah kekuatan luar biasa seorang anak muda yang enggan menyerah kalah kepada takdir.

“Keputusan ini sangat bermakna. Doa saya cuma satu, agar Aaron diberikan kesembuhan sepenuhnya dan berjaya dunia akhirat,” tambah ibunya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN