ALOR SETAR – Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melibatkan 86,030 pelajar di daerah Kota Setar dan Pendang selama tiga hari berakhir hari ini dan kesemua murid akan kembali semula ke sekolah esok.
Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rahim Mat berkata, keputusan itu dibuat selepas dua daerah tersebut mencatatkan bacaan suhu Tahap 1 (berjaga-jaga) antara 35 hingga 37 darjah Celcius sejak semalam.
“JPN sentiasa memantau bacaan suhu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi sebelum menentukan pelaksanaan PdPR. Dalam sehari dua ini hujan dan suhu menurun kepada Tahap 1,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun akan beroperasi seperti biasa, segala aktiviti di sekolah akan dilaksanakan mengikut garis panduan yang disediakan dan akan diedarkan kepada waris dan pelajar.
“Pastikan murid terlindung daripada cuaca panas dan minum air dalam jumlah yang banyak. Sesi PdPR juga berjalan lancar seperti dirancang cuma ada beberapa kekangan antaranya murid terpaksa berkongsi gajet dengan ibu bapa.
“Walau apapun kekangan yang dihadapi, proses pembelajaran berjaya diteruskan dan selesai dengan jayanya, cuma lokasi dan masa yang berbeza,” katanya.- KOSMO! ONLINE














