fbpx
Mohd Hisham (hujung kiri) ketika melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Hari Meteorologi Sedunia 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM. -Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Paras empangan bergantung keadaan hujan semasa fasa peralihan monsun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Paras air di beberapa empangan negara kini bergantung kepada jumlah hujan yang diterima sepanjang fasa peralihan monsun ketika ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, negara kini telah memasuki fasa peralihan monsun sejak 29 Mac lalu, yang dijangka berlangsung kira-kira sebulan setengah sehingga pertengahan atau penghujung Mei.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, hujan dijangka berlaku lebih kerap berbanding minggu sebelumnya, sekali gus memberi peluang kepada empangan untuk menambah simpanan air.

“Dalam tempoh ini kita harap hujan dapat dikumpul oleh empangan supaya paras air dapat meningkat semula.

“Ini penting sebelum negara memasuki monsun Barat Daya yang lazimnya kurang hujan,” katanya kepada pemberita semasa Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026 di UKM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, fenomena cuaca panas yang sedang berlaku ketika ini adalah perkara biasa saban tahun, khususnya antara Februari hingga Jun, dengan suhu boleh mencecah antara 35 hingga 38 darjah Celsius ketika kemuncak.

“Cuaca panas ini berlaku kerana kedudukan matahari yang lebih tegak di atas negara ketika ekuinoks, menyebabkan sinaran terus ke permukaan bumi.

“Fasa peralihan monsun juga lazimnya membawa hujan ribut petir pada sebelah petang, namun tempohnya singkat dan tidak mencukupi untuk mengisi empangan secara konsisten jika tidak berlaku dengan kerap,” katanya.

Katanya, keadaan tersebut turut meningkatkan risiko kejadian seperti angin kencang, pokok tumbang dan banjir kilat berikutan hujan lebat dalam tempoh singkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN