fbpx
Anwar ketika mempengerusikan mesyuarat MTEN hari ini. FOTO FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

MTEN teliti krisis tenaga global, kerajaan perkukuh ekonomi domestik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang semakin meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia kini berdepan fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, justeru Malaysia perlu bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut beliau, kerajaan mengakui cabaran tersebut namun menegaskan asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan.

“Kerajaan Madani akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“(Ia) agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengajak rakyat untuk memperkukuh ekonomi domestik dengan mengutamakan barangan tempatan serta menyokong usahawan dalam negara.

“(Ini) kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat,” ujarnya.

Anwar berkata, kerajaan akan terus memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi kekal berfungsi dengan baik serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN