fbpx
MUHAMMAD ARIF dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki senegaranya berhampiran sebuah kelab malam, bulan lalu. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

Lelaki Singapura didakwa bunuh rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki Singapura berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh rakan senegaranya berhampiran sebuah kelab malam di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Arif Saiyadi, 25, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Chia Hon Chung, 32, kira-kira pukul 5.30 pagi di Persiaran Southkey 1, Kota Southkey, 14 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat, kimia dan DNA.

Dalam prosiding berasingan, rakan tertuduh, Shahid Nazareen Shah Phul Bahar Hussain, 33, turut dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencederakan seorang lelaki dalam kejadian sama.

Di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohamad Adam Haikal Zakaria, 26.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 pagi di lokasi sama pada hari kejadian.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,700 terhadap tertuduh dan menetapkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN