PETALING JAYA – Pelakon Noreen Iman melahirkan hasrat untuk bergandingan dengan aktor terkenal, Beto Kusyairy dalam mana-mana drama mahu pun filem.
Menurut Noreen atau nama sebenar, Norreen Iman Abdullah, 31, impian tersebut sudah lama disimpannya dan dia tidak segan untuk berkongsi keinginannya itu.
“Kepada pihak produser, saya Norreen Iman dan ada hajat yang teringin sangat sejak dulu. Saya boleh berlakon insya-Allah ada kelakar sikit-sikit.
“Menangis rupa memang buruk. Insya-Allah kalau beraksi berlari tu nampaklah macam ‘briskwalk’.
“Boleh tak saya nak berlakon dengan abang Beto Kusyairy?” katanya dalam platform Threads.
Katanya, dia juga sanggup melakonkan babak dipukul oleh Beto sekiranya diberikan peluang tersebut.
“Ya saya menekan-nekan sedikit.
“Kalau dapat babak abang Beto lempang saya dari jauh, jangan risau saya boleh terus buat-buat mati.
“Izinkan saya. Bismillahirrahmanirrahim, saya cuba ya,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai respons termasuk daripada isteri Beto iaitu Tisha Shahar yang meminta Noreen menghubunginya sekiranya pihak produser memberi ‘lampu hijau’.
“Bee (panggilan kepada Beto), dia nak awak lempang dia dari jauh and terus buat buat mati, hebat ilmu Bee.
“Nanti Norreen dah berjaya pujuk produser, suruhlah produser hubungi Kak Tisha ya,” balasnya.
Rata-rata turut mendoakan impian Norreen untuk bergandingan dengan Beto terlaksana selain diberikan naskhah berkualiti. – KOSMO! ONLINE














