KAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools sedia mencurahkan kudrat dan pengalamannya di pentas tertinggi untuk memastikan kejayaan mampu menjadi milik skuad negara pada aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam ini.
Selepas tampil cemerlang bersama Cerezo Osaka dalam saingan Liga Jepun, tonggak pertahanan negara itu bertegas dirinya kekal bermotivasi untuk menghadiran sesuatu sekali gus cipta penawar buat peminat tempatan.
“Seperti yang dikatakan jurulatih, kami mempunyai seminggu penuh untuk bersiap sedia bagi perlawanan penting ini. Kami sentiasa tahu bahawa perlawanan menentang Vietnam adalah sukar.
“Jadi para pemain sebenarnya sangat bermotivasi. Pasukan telah berlatih dengan baik dan kami sedia untuk memberikan persembahan terbaik pada perlawanan kali ini.
“Sudah tentu, saya sentiasa cuba memberikan 100% untuk Malaysia dan secara peribadi, segalanya berjalan dengan agak baik di Jepun. Jadi saya harap saya dapat membawa prestasi semasa dan pengalaman tersebut ke sini untuk membantu pasukan mencapai keputusan yang baik,” katanya.
Ketika ini, peminat bola sepak negara sedang dihimpit rasa kecewa selepas Harimau Malaya tidak lagi berpeluang layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 selepas dipotong enam mata membabitkan aksi bertemu Nepal dan Vietnam.
“Seperti perlawanan lain, kami menghormati pihak lawan dan telah menganalisis mereka dengan sangat baik. Kami tahu apa yang perlu dijangkakan dan kami tahu mereka mempunyai pemain yang berkualiti.
“Kami perlu berada pada tahap terbaik untuk menyukarkan mereka dan mendapatkan perlawanan yang baik. Kami tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.














