PETALING JAYA – “Dah janji nak bagi hadiah kereta, insya-Allah.”
Demikian luahan kegembiraan penyanyi Linda Rafar yang berhasrat ingin menghadiahkan sebuah kereta buat anak lelakinya, Syed Rezaqiib Syed Kamaruzaman selepas berjaya mencatatkan keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Sebak dan bangga dengan kejayaan tersebut, Linda, atau Azlinda Abdul Rafar, 48, menjadi saksi melihat kesungguhan puteranya itu yang sanggup mengetepikan segala aktiviti tidak bermanfaat demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan tersebut.
“Sedih dan sebak, pada masa yang sama bangga.
“Dia mula-mula belajar macam biasa, tapi tiga bulan terakhir dia berhenti semua aktiviti yang tak bermanfaat.
“Hanya fokus solat, mengaji dan tuisyen,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon, Syed Aiman itu mendedahkan anaknya mahu menyambung pengajian dalam bidang perubatan.
“Dia ingin menjadi doktor perubatan,” ujarnya ringkas.
Linda turut berkongsi rahsia di sebalik kejayaan anaknya yang kuat beribadat, termasuk rutin mengkhatamkan al-Quran pada setiap bulan.
“Bagi ruang jangan push sangat tapi Aqiib (nama panggilan Rezaqiib) ini kuat solat dan khatam al-Quran setiap bulan. Bagi masa jangan ‘push’ (paksa) sangat tapi kena sentiasa doa dan berkata baik.
“Tip paling berharga Aqiib dapat buat umrah dan solat dalam makam Rasulullah hampir tiga jam tanpa dihalau.
“Mungkin ini cara untuk yang ingin berjaya. Yakin kuasa Allah SWT,” tuturnya.
Rezaqiib, 18, merupakan anak sulung hasil perkahwinan Linda dan Syed Aiman.
Selain Rezaqiib, Linda dan Syed Aiman dikurniakan dua lagi anak lelaki iaitu Syed Rezariiq, 16, Syed Rezaliif, 12.
Sebelum Syed Aiman, Linda pernah berkahwin dan dikurniakan dua anak iaitu Rezaril Keflin dan Memen atau nama penuhnya, Rezaimen Keiflin.
Memen meninggal dunia pada usia 11 tahun pada 5 Julai 2014 disebabkan barah perut atau ‘Burkitt Lymphoma’. – KOSMO! ONLINE














