PETALING JAYA – Tampil bersuara, pelakon dan usahawan Abby Abadi menggesa institusi perundangan mengenakan tindakan terhadap mana-mana lelaki yang gagal menyelesaikan isu pernikahan dengan pasangan mereka.
Menurut Abby, perkara tersebut juga perlu dikenakan terhadap menantunya, Ahmad Aslam yang sehingga kini perkahwinannya dengan Marissa Dania Hakim tidak mempunyai sijil pengesahan nikah.
“Tolonglah Mahkamah Syariah di Malaysia, isu-isu macam ini tidak bolehkah nak ambil sebarang tindakan untuk beri pengajaran kepada pihak lelaki?
“Sudahlah nikah di luar Malaysia, tiada pula pengesahan sijil nikahnya.
“Sudah dua tahun, buat pihak perempuan saja dipandang hina,” katanya dalam Threads.
Tambah Abby, dia bimbang keadaan bertambah teruk sekiranya ibu bapa campur tangan dalam masalah tersebut.
“Tak menjadi kesalahan ke di Malaysia lelaki perangai macam ini? Sesuka hati nak buat apa pun.
“Kalau ibu bapa bertindak nanti, takut mereka pula yang ke dalam (penjara),” katanya lagi.
Hari ini, Marissa dan Ahmad Aslam hadir ke mahkamah berikutan prosiding menentukan status sebenar hubungan mereka sama ada masih sah sebagai suami isteri atau sebaliknya.
Ini berikutan Ahmad Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.
Peguam syarie mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, mahkamah belum dapat membuat keputusan muktamad berhubung kes tersebut dan menangguhkan kes ke tarikh yang akan dimakluman kelak.
Dalam masa sama, ketiadaan sijil nikah rasmi juga menyebabkan proses perundangan menjadi sedikit rumit.
Perkara itu berpunca daripada perkahwinan pasangan itu yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada Disember 2023, sekali gus menyebabkan proses pendaftaran di negara ini masih belum selesai.
Sebelum ini, Marissa dan Aslam pernah hadir ke mahkamah sama pada Mei 2025 bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses berkaitan masih berlanjutan sehingga kini. – KOSMO! ONLINE














