KUALA LUMPUR – Beberapa kenderaan dilaporkan rosak akibat dihempap pokok tumbang di sekitar Kuala Lumpur susulan ribut petir dan hujan lebat yang melanda ibu negara petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan insiden berkenaan antara jam 3 petang hingga 5.30 petang.
“Antara lokasi terlibat ialah Jalan Akar di Kampung Attap, Taman Botani Perdana, Istana Pahang di Jalan Raja Chulan, Blok 5 Flat Kuchai Lama, Sekolah Kebangsaan Jalan Padang Tembak serta Jalan Desa Jaya di Taman Desa.
“Pasukan bomba digerakkan ke beberapa lokasi terjejas bagi menjalankan kerja penyelamatan, pembersihan serta pemotongan pokok tumbang selain memastikan keselamatan kawasan awam berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Menurutnya, terdapat beberapa kenderaan dilaporkan dihempap pokok tumbang, namun situasi berjaya dikawal dan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan segera di semua lokasi terjejas.
“Kesemua insiden berjaya ditangani dengan pantas oleh pasukan bomba Kuala Lumpur yang turut memastikan tiada risiko bahaya kepada orang awam di kawasan terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan bomba akan terus berada dalam keadaan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, berikutan cuaca buruk yang dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.
“Setakat ini, tiada laporan atau panggilan diterima melibatkan kejadian banjir kilat di sekitar ibu negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














