fbpx
MUHAMMAD FAIZ didakwa pecah amanah RM141,872.62 hasil jualan sawit LPP di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

Pengurus dituduh guna duit RM141,872.67 hasil jualan sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang pengurus ladang di Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM141,872.67 pada 2021 dan 2022.

Tertuduh, Muhammad Faiz Ibrahim, 36, yang juga Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan utama dan pilihan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menggunakan hasil jualan buah tandan segar sawit berjumlah RM141,872.67 di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur, Pusat Kemajuan Peladang, Mawai Baru antara 26 April 2021 dan 15 November 2022.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dengan sebatan dan denda.

Mengikut pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 406 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling, manakala tertuduh diwakili peguam Asiah Abd. Jalil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN