KAJANG – Melanggar lampu isyarat merah dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu dikenal pasti antara kesalahan paling tinggi direkodkan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi sejak 13 hingga 29 Mac itu menunjukkan kedua-dua kesalahan tersebut masih berleluasa meskipun pelbagai peringatan diberikan kepada pengguna jalan raya.
Antara alasan yang sering diberikan adalah tergesa-gesa selain tidak menyedari perubahan lampu isyarat.
“Penggunaan telefon bimbit ketika memandu pula jelas mengganggu tumpuan dan meningkatkan risiko kemalangan, namun kesalahan ini masih berulang,” katanya pada sidang akhbar Operasi Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini malam tadi.
Azrin berkata, seramai 334 anggota penguat kuasa ditugaskan sepanjang operasi tersebut bagi menjalankan pemantauan di lokasi strategik seluruh negeri dengan 45,140 kenderaan diperiksa.
“Sebanyak 1,789 buah kenderaan diambil tindakan. Secara keseluruhannya, sebanyak 6,688 kesalahan direkodkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan berkaitan,” ujarnya.
Kesalahan lain yang turut dikesan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, kesalahan teknikal dan membawa muatan berlebihan.
Azrin berkata, tahap pematuhan kenderaan barangan terhadap larangan operasi menunjukkan peningkatan apabila hanya sembilan kenderaan dikesan melanggar peraturan.
“Pemeriksaan mendapati lori yang berada di lebuh raya yang membawa barangan keperluan harian termasuk makanan, petroleum dan hasil pertanian adalah dibenarkan,” jelasnya.
Operasi turut memberi tumpuan di lebuh raya utama, depoh bas, terminal pengangkutan awam serta kawasan perindustrian dengan 15 lokasi dikenal pasti sebagai titik panas pemantauan.
“Penguatkuasaan dilakukan secara terus di lapangan termasuk menggunakan kaedah penyamaran dalam bas ekspres bagi mengesan kesalahan.
“Hasil pemantauan juga mendapati kebanyakan pemandu bas ekspres semakin mematuhi peraturan dan lebih peka terhadap penguatkuasaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














