KUALA LUMPUR – Taktik seorang ‘lone ranger’ yang aktif melakukan pecah kedai di sekitar ibu negara akhirnya terbongkar apabila dia ditahan polis dalam Op Cash Box baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, suspek warga tempatan berusia 44 tahun itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 30 kes dengan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM59,546.
Menurutnya, suspek diberkas sepasukan anggota Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Wangsa Maju hasil risikan yang dijalankan sejak Julai tahun lalu.
“Suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau dan baru sahaja dibebaskan dari penjara pada Mac 2025 atas kesalahan sama sebelum kembali aktif melakukan jenayah bermula Julai tahun itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek menyasarkan premis yang mempunyai pintu kaca dan menjalankan kegiatan pada waktu tengah malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan.
“Modus operandi digunakan adalah dengan menggoncang pintu kaca dan sekiranya gagal dibuka, suspek akan memecahkannya menggunakan batu sebelum melarikan peti wang tunai,” jelasnya.
Tambah beliau, suspek yang merupakan seorang gelandangan dan tidak mempunyai tempat tinggal tetap sering berpindah-randah serta menjadikan masjid sebagai tempat berlindung bagi mengelak dikesan.
“Hasil tangkapan, polis turut merampas dua motosikal yang dilaporkan hilang di Jinjang dan Dang Wangi selain 11 barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.
“Salah satu motosikal itu ditemui disorok di bawah tangga sebuah bangunan di Muar, Johor dan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah di luar Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek paling aktif di Wangsa Maju dengan 11 kes, diikuti Dang Wangi (tujuh), Cheras (enam), Sentul (empat) dan Brickfields (dua).
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 27 Mac lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














