TAIPING – Kestabilan ditunjukkan sewaktu berhadapan konflik Asia Barat menjadi kekuatan bagi Malaysia untuk menarik golongan pelancong ke negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, ini kerana akses kepada bahan api seperti petrol selain penerbangan menjadi antara faktor yang mendorong kedatangan pelancong ke sesebuah negara.
“Sewaktu berlakunya krisis, tak dapat dinafikan bahawa tiada negara dalam dunia akan terlepas daripada kesannya. Bagaimanapun, kita perlu strategi untuk menangani apa yang berlaku. Kita di Malaysia amat bertuah. Di negara-negara jiran contohnya, harga minyak naik, bahkan tak dapat bekalannya juga tetapi di sini kita bersyukur harga minyak tak naik dan pada masa sama bekalan mencukupi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pengubahsuaian Dalaman Pusat Interpretasi Pelawat dan Pelancaran Jejak Kedamaian Taiping di sini.
Sehubungan itu, Sze Yee berkata, kestabilan negara serta akses kepada bahan api berkenaan menjadi salah satu faktor untuk menarik pelancong ke Malaysia.
“Sebenarnya pelancong kalau nak ke mana-mana destinasi pelancongan mereka nak ke negara yang stabil, bukan yang mempunyai kacau bilau dan ketidaktentuan. Konflik yang berlaku ketika ini menyebabkan Timur Tengah selaku tempat penyambungan penerbangan terjejas, sekali gus memutuskan hubungan antara Timur dan Barat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














