fbpx
Muhammad Hafizuddeain (depan) dan Salwani (belakang) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Amir Khalid/KOSMO!

Kes bekas PTD, isteri ketiga akan dibicarakan bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Semua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya Salwani Anuar @ Kamaruddin akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat supaya kes berkenaan dibicarakan bersama.

Semasa prosiding peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Muhammad Hafizuddeai, 58, dan Salwani, 26, diwakili peguam Fahmi Abd Moin tidak membantah terhadap permohonan itu.

“Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes terbabit dibicarakan bersama dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. Jaminan kedua-dua tertuduh sebelum ini dikekalkan,” kata Hakim Azura.

Terdahulu Mahadi memaklumkan alasan alasan permohonan itu (dibicarakan bersama) dibuat kerana ia melibatkan saksi dan fakta kes sama selain kesalahan predikat sama.

Pada 22 Januari lalu, Muhammad Hafizuddeain didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga bank, melibatkan tiga lokasi berbeza iaitu di Jalan Melaka, Bukit Damansara dan pusat bandar raya di sini antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025, mengikut Subseksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Pada tarikh sama, isterinya Salwani didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram iaitu masing-masing berjumlah RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank milik syarikat tersebut di sebuah bank cawangan Damansara Heights, di sini, antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama dengan Subseksyen 87(1)(a) akta sama, serta boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta serupa yang membawa hukuman sama.

Sehari selepas itu, pada 23 Januari Muhammad Hafizuddeain didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank, di Ampang Point, Ampang antara 19 September 2024 hingga 19 Mei 2025.

Dia dituduh mengikut Subseksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA yang membawa hukuman serupa.

Salwani turut dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 26 Januari lalu atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Kerteh, Besut, pada 16 Januari 2025 mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta serupa.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN