BINTANG muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar bersedia mengharungi pertarungan paling getir dalam kariernya apabila bakal berdepan jaguh Asia tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Jojo yang mencipta nama di pentas ONE Championship masih mengunci identiti lawannya itu kerana belum diumumkan secara rasmi pihak penganjur.
Menurutnya, pertarungan berkenaan dijangka berlangsung tidak lama lagi dengan pengumuman rasmi mungkin dibuat dalam tempoh terdekat.
“Apa yang boleh saya katakan, lawan yang saya nak berdepan nanti itu memang bagus. Saya rasa ini antara perlawanan paling susah setakat ini dalam ONE Championship.
“Kontrak juga telah tandatangan, jadi saya harap mereka diluar sana doakan kejayaan serta keselamatan menjelang pertarungan itu nanti. Insya-Allah demi negara Malaysia, sekali lagi saya akan buktikan Malaysia boleh,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran besar, Jojo tetap optimis dan percaya dengan persiapan rapi mampu memberikan keputusan positif.
“Dia senior sikit daripada saya, tapi memang dia seorang ‘fighter’ yang pandai. Saya dah tengok cara dia lawan.
“Selepas ini, saya akan kembali ke Bangkok untuk menjalani latihan dan fokus buat persiapan sehabis mungkin dan selebihnya usaha, doa dan bertawakal,” katanya kepada Kosmo!.














