PETALING JAYA – Seorang wanita terpaksa berhadapan dengan tabiat buruk rakan serumahnya yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan di dalam rumah.
Menerusi sebuah hantaran di Threads oleh Ummu_Ahmd, dia memuat naik sekeping foto memaparkan bungkusan makanan yang ditinggalkan terlalu lama hingga ditumbuhi kulat berwarna kelabu gelap yang memenuhi ruang bekas plastik tersebut.
Lebih mengecewakan, dia mendakwa segala teguran yang dibuat melalui kumpulan WhatsApp tidak diendahkan oleh rakan-rakannya yang lain.
“Aku rasa housemate (rakan serumah) aku sebenarnya monyet tapi jelmaan manusia lah,” katanya.
Menurutnya, dia letih kerana terpaksa menjadi individu tunggal yang membersihkan kekotoran di rumah sedangkan punca masalah datang daripada ahli rumah yang lain.
“Saya penat bebel dalam group (kumpulan). Dapur tak bersih, lantai kotor, tak basuh bilik air tapi tiada siapa peduli,” tambahnya lagi.
Rata-rata pengguna berseloroh mengenai situasi tersebut, selain ada yang turut berkongsi pengalaman yang sama apabila melibatkan rakan serumah pengotor.
“Saya dulu kemas-kemas jumpa rambutan seikat dalam kabinet dapur dah hitam,” jelas Maroonbestie.
“Rakan serumah saya suka peram juga sampai berulat. Selagi orang lain tak buang, mungkin jadi rama rama ulat tu,” kata Wahiyy.Wahidah98 pula.
Ada pengguna turut mencadangkan agar makanan berkulat itu diletakkan terus di atas tempat tidur pelaku agar mereka sedar akan kesilapan tersebut.
“Senang je, kau letak atas tilam dia. InsyaAllah gaduh tak gaduh tu nombor dua tapi memang dia akan buang,” ujar .Mochiichom.. – KOSMO! ONLINE














