LIVERPOOL – Situasi semasa Liverpool dengan prestasi yang dianggap tidak stabil menyebabkan pengendalinya, Arne Slot dijangka bakal mengakhiri kariernya di Anfield pada musim panas ini.
Perkembangan itu menyebabkan timbulnya spekulasi hebat bahawa seorang legenda kelab bakal kembali ke Anfield untuk mengemudi pasukan berkenaan sebagai pengganti bagi saingan musim depan.
Ketika ini, nama bekas jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso dikatakan menjadi calon terbaik selepas Liverpool sebelum ini sudah menginginkan khidmatnya ketika masih bersama Bayer Leverkusen.
Alonso mencipta perjalanan karier luar biasa bersama Leverkusen, namun Liverpool ketika itu memilih untuk membawa masuk Slot dan keputusan itu dianggap tepat apabila berjaya membantu The Reds menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris pada musim pertamanya.
Bagaimanapun, musim keduanya tidak berjalan dengan lancar terutama ketika Liverpool menjadi pasukan yang paling berbelanja besar membawa masuk pemain baharu, namun impaknya mengecewakan.
Ejen Alonso mengesahkan bahawa Liverpool merupakan pasukan yang memiliki peluang paling besar untuk mendapatkan khidmat Alonso, namun pengendali dari Sepanyol itu menetapkan syarat penting.
Difahamkan, Alonso mahukan kawalan penuh terhadap perancangan pasukan dan itu merupakan perkara yang gagal diperoleh ketika di Santiago Bernabeu selain pemergian Mohamed Salah membolehkan beliau menstruktur semula Liverpool.
Alonso tidak terdesak untuk menggantikan Slot dalam tempoh terdekat, namun beliau dikatakan sudah memulakan pemerhatian dan kajian terhadap kekuatan dan kelemahan Liverpool untuk memudahkan tugas sekiranya dilantik. – AGENSI














