KAJANG – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun antara individu yang dikenakan tindakan dalam Operasi Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini malam tadi.
Remaja itu dikesan cuba mengelakkan pemeriksaan dengan mematikan enjin motosikalnya selepas disyaki menggunakan ekzos bising.b Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati motosikal itu diubah suai termasuk penggunaan ekzos yang tidak mengikut spesifikasi.
Lebih membimbangkan, kenderaan itu juga tidak mempunyai brek belakang dan hanya bergantung kepada brek hadapan, sekali gus mengundang risiko keselamatan.
Ketika disoal, remaja itu memaklumkan dia melakukan pengubahsuaian kerana minat terhadap motosikal.
Dalam operasi sama, seorang lelaki Pakistan berusia dalam lingkungan 30-an turut ditahan selepas gagal mengemukakan lesen memandu yang sah.
Pemeriksaan mendapati motosikal yang didakwa baru dibeli pada harga RM2,500 itu tidak memiliki cukai jalan kerana lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, kesalahan tidak memiliki lesen memandu merupakan antara kesalahan tertinggi direkodkan dalam operasi tersebut yang bermula pada pukul 8 malam.
“Seramai 40 anggota penguat kuasa memeriksa 712 buah kenderaan dengan 194 daripadanya telah diambil tindakan. Sebanyak 377 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 354 saman dikeluarkan selain lapan notis larangan penggunaan kenderaan (PG1), notis arah periksa (8) dan penahanan kenderaan (7).
“Secara keseluruhan, sebanyak 349 kesalahan direkodkan dengan kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 104 kes, diikuti LKM dan insurans sebanyak 90 kes dan kesalahan nombor pendaftaran, teknikal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














