KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Ahmad Aslam memilih mengunci mulut sebaik selesai prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tengah hari tadi.
Aslam atau nama sebenarnya Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 25, hanya memberikan kenyataan ringkas tanpa mengulas panjang berhubung kemelut rumah tangganya bersama isteri, Marissa Dania Hakim, 21.
“Maaf, saya tiada apa-apa mahu dikomen. Doakan yang baik-baik.
“Akan ada penangguhan. Untuk hari ini, semuanya sudah selesai. Terima kasih,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sebelum ini, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai sebanyak dua kali di luar mahkamah, masing-masing pada September 2024 dan April 2025 sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.
Sementara itu, peguam syarie mewakilinya, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memaklumkan mahkamah belum dapat membuat keputusan muktamad berhubung kes tersebut.
“Hari ini mahkamah tidak dapat memutuskan keputusan kerana terlalu banyak isu hukum syarak dan undang-undang perlu diperhalusi.
“Ada perkara memerlukan penelitian daripada kitab fuqaha serta pandangan alim ulama sebelum keputusan boleh dibuat.
“Mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sambung bicara bagi pihak defendan, namun tidak boleh didedahkan,” ujarnya pada prosiding lafaz cerai dan rujuk pasangan terbabit, di sini, hari ini.
Tambahnya, penentuan kesahihan lafaz cerai dan rujuk memerlukan penelitian mendalam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.
“Contohnya, lafaz dalam keadaan tertentu sama ada sah atau tidak. Begitu juga rujuk dalam situasi tertentu, sama ada mensabitkan hubungan suami isteri.
“Perkara itu belum dapat diputuskan kerana keterangan belum selesai dikemukakan,” kongsinya.
Dalam masa sama, Ammar Yaser memaklumkan Marissa tidak diwakili peguam, sebaliknya hanya mendapatkan khidmat nasihat daripadanya selaku peguam pihak plaintif.
Tarikh prosiding seterusnya bagaimanapun dirahsiakan atas permintaan kedua-dua pihak.
Menjelaskan mengenai kelewatan anak guamnya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk di mahkamah syariah, beliau berkata, kelewatan itu bukanlah sesuatu yang disengajakan.
Sebaliknya berpunca daripada komplikasi prosedur dokumentasi yang perlu dipatuhi memandangkan perkahwinan anak guamnya sebelum ini dilangsungkan di luar negara.
Dalam pada itu Muhammad Ammar Yaser, memaklumkan defendan, Marissa tidak diwakili peguam, sebaliknya hanya mendapatkan khidmat nasihat daripadanya selaku peguam pihak plaintif.
Terdahulu, pasangan tersebut mencetuskan perhatian ramai apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023, ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah.
Perkahwinan itu turut didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu bapanya, pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.
Pada Mei 2025, pasangan itu hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses berkaitan masih berlanjutan sehingga kini. – KOSMO! ONLINE.














