LONDON – Pengurus England, Thomas Tuchel tetap berpuas hati dengan prestasi ditampilkan anak-anak buahnya ketika seri 1-1 menentang Uruguay pada aksi persahabatan di Wembley awal pagi semalam.
The Three Lions berada pada fasa terakhir persiapan serta pemilihan sebelum menggalas misi sebenar di pusingan akhir saingan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung pada 11 Jun hingga 19 Julai depan.
Tuchel berkata, beliau sudah belajar sesuatu daripada perlawanan tersebut menjelang aksi persahabatan terakhir menentang Jepun pada Rabu nanti sebelum mereka berangkat ke saingan Piala Dunia.
“Saya belajar banyak perkara malam ini (semalam) kerana Uruguay merupakan sebuah pasukan yang sangat kuat. Anda semua boleh tengok kemampuan Uruguay menerusi pemain-pemain yang mereka ada.
“Kami berdepan sebuah pasukan yang memiliki mentaliti kemenangan selain sangat tersusun ketika bertahan. Ia satu perlawanan intensiti tinggi dan kami sangat memerlukan cabaran seperti ini,” katanya.
Pada perlawanan itu, pemain pertahanan England, Ben White membuka tirai jaringan pada minit ke-81 sebelum Federico Valverde menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti ketika aksi memasuki masa kecederaan.
“Selepas ini kami memiliki masa lebih kurang tiga hari untuk melakukan persediaan menentang Jepun. Bagi saya, mereka memiliki corak permainan yang unik, jadi kami perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan,” ujar Tuchel. – AGENSI














