fbpx
Shamsul Nizam (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan Thailand di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Tindakan tegas ‘atur’ stesen minyak guna fleet card

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang dikesan menyalahgunakan kad subsidi diesel atau ‘fleet card’ bagi mengaut keuntungan haram, termasuk menyeludup bahan api itu ke Thailand.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu mahupun sindiket yang melakukan kesalahan tersebut.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan Program Budi Madani RON95 (Budi95), mahupun ‘fleet card’ ini.

“Operasi bersepadu akan dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti ketirisan iaitu penyeludupan dan penyelewengan bahan api terutama di pintu sempadan negara,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sindiket dikesan semakin licik menyeleweng dan menyeludup bahan api bersubsidi di sempadan negara di sini berikutan masalah bekalan minyak di Thailand termasuk menyalahgunakan ‘fleet card’ milik beberapa syarikat bagi menjalankan kegiatan itu.

Menurut Shamsul Nizam, pihaknya bersedia dengan kemungkinan peningkatan cubaan menyeludup petrol dan diesel ke negara jiran susulan isu bekalan bahan api berikutan konflik Asia Barat.

“Kita akan mempertingkatkan operasi bersepadu bersama agensi lain bagi membanteras sebarang aktiviti ketirisan, penyeludupan dan penyelewengan petrol serta diesel.

“Kawalan di semua pintu sempadan negara akan diperketatkan dengan melaksanakan pemeriksaan terhadap kenderaan yang keluar, stesen minyak, stesen minyak tanpa subsidi serta pemborong,” ujarnya.

Jelasnya, risikan, pemeriksaan dan pemantauan secara intensif turut dilaksanakan di stesen minyak serta kawasan tumpuan.

“Kita ingin memberikan amaran keras kepada mana-mana individu mahupun sindiket supaya tidak mengambil kesempatan dalam situasi konflik global ketika ini. Perbuatan menyeleweng subsidi negara adalah satu bentuk pengkhianatan kepada tanah air,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, KPDN merekodkan rampasan petrol dan diesel bernilai RM32.1 juta yang cuba diseleweng menerusi Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga kelmarin.

Menurut Shamsul Nizam, dalam tempoh tersebut, sebanyak 38,615 pemeriksaan dilakukan dan pihaknya berjaya mengesan 1,371 kes dengan tangkapan seramai 667 individu.

“Kita berjaya merampas petrol dan diesel bernilai RM32.1 juta dengan jumlah keseluruhan rampasan RM146 juta membabitkan lori, ‘skid tank’, tangki IBC, pam hos dan lain-lain,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN