PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Fazley Yaakob mempertahankan golongan yang memilih untuk berkahwin dengan individu yang berstatus janda atau duda.
Fazley atau nama penuhnya Ahmad Fadzli Yaakob, 47, menyelar tindakan segelintir netizen yang gemar menghakimi dan mencari kelemahan dalam keputusan hidup orang lain, terutamanya melibatkan soal jodoh.
“Tak ada salahnya pun kahwin dengan ‘bekas orang’, ‘janda dengan excess baggage atau ‘dulu isteri si polan’.
“Hati akan tetap memilih siapa yang mahu. Kalian yang namanya tak disebut dalam akad, tak perlu nak ‘bitter, sibuk nak menghakimi dan mencari kelemahan orang,” katanya dalam Threads.
Mengulas lanjut mengenai sikap toksik segelintir netizen, pelantun lagu Asmara Ini itu berpendapat mereka yang gemar mencela kehidupan orang lain sebenarnya sedang bergelut dengan masalah emosi dan kebahagiaan diri sendiri.
“Biasanya orang macam ini memang tak berdamai dengan kebahagiaan sendiri. lalu mereka berusaha mencari keseronokan dan kepuasan dalam mencela kehidupan orang lain.
“Pergilah cari hobi baru okey? Belajar memasak atau ‘baking’ (membuat kek),” selorohnya.
Kenyataan terbabit dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan majlis pertunangan melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan penyanyi Bella Astillah yang berlangsung semalam.
Menurut sumber, kedua-dua keluarga sudah rancak membuat persediaan untuk hari bahagia mereka nanti termasuk menempah lokasi acara.
Hubungan Bella dan Saddiq sebelum ini hangat diperkatakan selepas bermula dengan kerja kemasyarakatan, disusuli promosi kempen baju raya sebuah jenama popular bermula awal tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














