PETALING JAYA – Tular di media sosial satu rakaman memaparkan seorang individu dipercayai seorang scammer dikepung orang ramai ketika berada di dalam sebuah kereta.
Menerusi hantaran oleh @Shashaulala di laman Threads, kelihatan seorang wanita bertindak menunjukkan wajah individu berkenaan ke arah kamera dan turut memperlihatkan orang ramai mengerumuni kenderaan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna dikenali sebagai @Matchaskyyyy mendakwa keluarganya antara mangsa yang terlibat.
“Sebagai mangsa, saya ringkaskan. Dia dulu anak angkat ibu saya. Lepas cerai, dia ada banyak komitmen. Dia pinjam RM5,000 daripada keluarga saya kononnya nak bayar kereta, dan RM4,500 daripada saya untuk bayar peguam.
“Janji nak bayar balik, tapi selepas dua hingga tiga bulan, dia hanya bayar RM200 kepada saya dan RM200 kepada ibu saya sebelum terus senyap,” katanya.
Menurutnya lagi, wanita tersebut berjaya dipancing untuk hadir ke satu lokasi sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Adik saya pancing dia datang ke Tembeling dan dia datang tadi, kemudian kami bawa ke balai. Ada dua tiga orang lain juga kena benda yang sama. Saya harap kami dapat kembali duit kami,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna, @Xnishaz_ turut mempertahankan tindakan mendedahkan wajah individu berkenaan.
“Scammer itu anak angkat kepada ibu. Jumlah kerugian hampir RM10,000 dan ramai lagi mangsa lain.
“Kalau video viral tapi muka ditutup, macam mana orang nak kenal? Jadi tak salah tunjuk muka supaya orang lain lebih berhati-hati,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE.














