KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penyewa warga asing mengugut untuk membunuh dan membakar rumah tuan kediamannya membawa padah apabila dia diberkas polis di PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 7.41 malam, Rabu lalu daripada seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an.
Menurutnya, mangsa mendakwa diugut oleh suspek yang merupakan penyewa bilik di rumahnya selepas berlaku perselisihan berkaitan bayaran sewa.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berhubung bayaran bulanan sewaan rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras berjaya menahan suspek pada pukul 12.49 tengah malam, Khamis lalu di lokasi kejadian.
“Hasil semakan mendapati suspek merupakan lelaki warga Mesir berusia lingkungan 20-an dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.
Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bermula Jumaat lalu sebelum disambung reman selama 14 hari lagi bermula hari ini hingga 11 April bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE














